Entri Blog 2

Tajuk- Entri Blog 2

2. Rotavirus yang Berbahaya


Apakah sebenarnya Rotavirus? Rotavirus ialah sejenis virus yang menginfeksi usus (Pengertian Rotavirus, n.d.). Virus ini merupakan sejenis virus yang amat mudah berjangkit dan boleh kekal selama beberapa jam di atas kulit manusia.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang iaitu Datuk Dr M Sukumar, sebanyak enam kes positif Rotavirus telah dilaporkan di Pulau Pinang. Keadaan ini amat membimbangkan kerana kesemua mangsa terdiri daripada enam orang kanak-kanak yang beru antara 1 hingga 8 tahun (Dewi Nur Harasha Alias, 2016). Oleh itu, pelbagai langkah yang drastik perlulah diambil oleh pelbagai pihak untuk mengelakkan virus ini terus menular di negara kita.


Langkah-langkah kebersihan adalah sangat penting dalam mencegah Rotavirus. Bagi pencegahan di rumah, tabiat mencuci tangan dengan sebersih-bersihnya selepas ke tandas dan sebelum makan adalah amat penting. Hal ini disebabkan Rotavirus mampu bertahan dalam jangka masa yang lama di atas permukaan yang keras dan virus ini juga boleh kekal hidup dalam jangka masa yang agak lama di dalam najis manusia yang telah dijangkiti. Oleh itu, seseorang manusia akan mudah dijangkiti Rotavirus sekiranya dia tidak mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan cara basuh tangan yang betul.

Selain itu, ibu-ibu yang menjaga bayi adalah sangat penting untuk mereka mencuci tangan sebersihnya selepas membersihkan najis bayi mereka serta sentiasa memastikan puting botol atau puting payudara berkeadaan bersih sebelum memulakan penyusuan. Hal ini disebabkan daya tahan tubuh kanak-kanak terutamanya bayi adalah lebih lemah berbanding dengan orang dewasa. Oleh itu, mereka akan lebih mudah dijangkiti Rotavirus sekiranya ibu-ibu tidak menjaga kebersihan mereka dengan baik.

Di samping itu, kebersihan peralatan rumah juga adalah sangat penting dalam mencegah Rotavirus. Peralatan rumah seperti peralatan makanan, alatan permainan, lantai serta tahap kebersihan makanan yang disediakan perlulah sentiasa berkeadaan bersih. Hal ini disebabkan kanak-kanak biasanya akan berada di dalam rumah dalam jangka masa yang lama. Oleh itu, kekotoran peralatan rumah akan menyebabkan mereka lebih mudah dijangkiti Rotavirus akibat mereka menyentuh peralatan rumah yang tidak bersih ini.

Kini terdapat dua vaksin Rotavirus iaitu vaksin Rotarix dan vaksin Rotateq yang boleh diberikan kepada bayi untuk mengelakkan mereka dijangkiti virus ini. Vaksin tersebut akan diberikan dalam dua atau tiga dos bermula dari umur bayi yang berumur di antara 6 hingga 12 minggu dan perlu dihabiskan sebelum umur bayi mencecah 8 bulan. Walaupun kos vaksin tersebut agak tinggi, ibu bapa digalakkan untuk memberi vaksin tersebut kepada anak-anak mereka. Hal ini disebabkan kos rawatan bagi masalah cirit-birit terutamanya yang melibatkan kemasukan ke wad sudah pasti lebih tinggi daripada kos vaksin tersebut. Oleh itu, ibu bapa perlulah membuat keputusan yang bijak dengan memberi vaksin tersebut kepada anak-anak mereka.


Akhirnya, pesakit yang mengalami dehidrasi memerlukan rawatan di dalam wad di hospital. Dehidrasi dapat diubati dengan kemasukan cecair intravenous ke dalam badan. Jika pesakit tersebut mempunyai masalah dengan “lactos intolence” maka rawatan menerusi susu tanpa laktos perlu diberikan selama beberapa hari atau minggu. Manakala cirit-birit atau muntah yang tidak begitu serius, pengambilan “oral rehydration salt” (ORS) dengan kerapnya, bergantung kepada kekerapan pembuangan najis pesakit tersebut. Oleh itu, pesakit yang sudah dijangkiti Rotavirus perlulah memberi kerjasama kepada orang lain dengan menerima rawatan supaya dapat mengelakkan virus ini terus menular di negara kita.

Sebagai konklusinya, Rotavirus memang berbahaya. Hal ini disebabkan virus ini bukan sahaja mempengaruhi kesihatan seseorang manusia, tetapi juga akan menyebabkan pesakitnya mengalami kematian. Oleh itu, semua pihak perlulah memberi kerjasama dan memainkan peranan sendiri untuk mencegah virus ini.

Rujukan
Pengertian Rotavirus. (n.d.). Dipetik pada 11 Oktober 2016, daripada http://www.alodokter.com/rotavirus

Dewi Nur Harasha Alias. (2016, 2 Oktober). Enam Kes Positif Rotavirus Di Pulau Pinang Setakat Ini. Dipetik pada 16 Oktober 2016, daripada http://www.astroawani.com/berita-malaysia/enam-kes-positif-rotavirus-di-pulau-pinang-setakat-ini-118215






Comments